Monday, June 20, 2011

Perang Mu'tah & Air Mata Penyair Kesayangan Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam

Agungnya pemandangan itu. Seorang pemimpin turun dan turut sama menggali parit bersama semua kaum muslimin. Baginda membahagikan para sahabatnya kepada kumpulan-kumpulan yang setiapnya dianggotai sepuluh orang bagi menggali parit. Peristiwa ini berlaku pada perang Khandaq apabila Rasulullah menerima strategi perang yang dicadangkan oleh Salman Al-Farisi radhiyallahu anhu.Seluruh muslimin bekerja penuh cergas meskipun dalam keadaan amat kelaparan. Mereka tidak mahu dikalahkan oleh rasa lapar yang mencengkam walaupun mereka terpaksa mengalas perut mereka dengan ketul-ketul batu. Ini kerana mereka merasa malu kepada Rasulullah SAW, kerana Baginda sendiri mengalas perut baginda dengan dua ketul batu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Talhah radhiyallahu anhu.
يا رب لولا أنت ما اهتدينا
Wahai Tuhanku, kalau bukan kerana MU nescaya kami tidak akan mendapat hidayah
ولا تصدَّقنا ولا صلينا
Tidaklah kami bersedekah dan tidak kami mengerjakan solat
فأنزلن سكينة علينا
Turunkanlah ketenangan ke atas kami
وثبت الأقدام إن لاقينا
Tetapkan kaki kami ketika musuh datang menggempur kami
إن الذين قد بغوا علينا
Mereka (musyrikin) telah melampaui batas terhadap kami
إذا أرادوا فتنة أبينا
Jika mereka ingin mengganggu, pasti akan kamitolak dan kami tentang
Bibir Rasulullah yang kering kerana keletihan dan dek musim dingin yang menggigit hingga ke tulang, masih mampu melakar senyum sambil melantunkan bait-bait syair kegemaran Baginda. Syair yang pernah dikumandangkan oleh salah seorang penyair kesayangan Baginda SAW. Melihatkan wajah baginda yang sentiasa bersemangat, dan syair yang baginda perdengarkan, para sahabat seakan mendapat kekuatan. Tiada seorang pun yang mengeluh. Siapakah gerangannya sahabat agung itu? Yang syairnya menjadi dendangan bibir semulia-mulia manusia penghulu seluruh alam?
Mari kita tinggalkan parit Khandaq dan melangkah ke pentas hidup insan hebat bernama Abdullah bin Rawahah.

Pada musim haji tahun ke-12 kerasulan Baginda, beliau adalah antara 12 orang utusan suku-suku daripada Madinah (yang kemudian dikenal dengan nama Kaum Anshar.) yang membai'ah atau mengikat janji sumpah setia kepada RasulullahSAW untuk membela Baginda. Sumpah ini terkenal dengan nama Bai’ah Al-Aqabah al-Ula (Aqabah pertama). Merekalah pembawa dan penyebar ajaran IsIam pertama ke kota Madinah, dan bai’at merekalah yang membuka jalan bagi hijrah Nabi beserta pengikut beliau, yang kemudian, membawa kepada penyebaran Islam yang begitu pesat sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Pada tahun berikutnya, Rasululloh Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam dibai’ah 73 orang Anshar dari penduduk Madinah pada Bai’atul ‘Aqabah Al-Thani (kedua), dimana Abdullah Ibnu Rawahah ini pun termasuk salah seorang utusan yang dibai’at itu.
Kemudian sesudah Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersama shahabatnya hijrah ke Madinah dan menetap di sana, maka Abdullah bin Rawahah jualah antara yang paling banyak berusaha membela agama Allah. Beliau mengawasi tipu muslihat Abdullah bin Ubay (pemimpin golongan munafik). Ketua munafiq itu menyusun pelbagai rencana menjatuhkan Rasulullah kerana dia telah terlepas satu peluang yang begitu diidamkannya. Sebenarnya dia telah dipersiapkan untuk diangkat menjadi raja sebelum Baginda berhijrah ke sana. Sebab itulah dia tak putus-putus berusaha menjatuhkan Islam dengan tidak menyia-nyiakan setiap kesempatan yang ada. Berkat kehebatan Abdullah bin Rawahah yang terus-menerus mengikuti gerak-gerik Abdullah bin Ubay dengan cermat, maka gagallah usahanya, dan maksud-maksud jahatnya terhadap Islam dapat dipatahkan.
Pada zaman tersebut, bukan semua orang mendapat peluang menuntut ilmu. Tetapi Allah telah memilih Ibnu Rawahah untuk lahir di suatu lingkungan yang mahir degan kepandaian menulis dan membaca. Lantas dia membesar menjadi seorang penulis yang hebat. Ia juga seorang penyair yang fasih, untaian syair-syairnya meluncur dari lidahnya begitu indah didengar. Orang-orang Islam pun sering mengulang-ulangi syair-syairnya yang indah.

Penyair Rawahah ini pernah dirundung kesedihan amat sangat sewaktu turun ayat 224 surah Al-Syu'ara' :
“Dan para penyair, banyak pengikut mereka orang-orang sesat”
Tetapi kedukaan hatinya dirawat oleh Rasulullah dengan senyuman. Baginda membacakan ayat yang waktu turun pula ayat lainnya : “Kecuali orang-orang(penyair) yang beriman dan beramal shaleh dan banyak ingat kepada Allah, dan menuntut bela sesudah mereka dianiaya”. (Q.S. Asy-syu’ara : 227)
Semenjak ia memeluk Islam, dipergunakan bakat bersyairnya itu untuk kejayaan Islam. Di sebalik syair-syair yang dilontarkan, ditebarkannya roh-roh jihad, semangat persaudaraan serta cintakan Islam ke dalam diri para sahabat dan semua tentera muslimin di medan-medan perang. Dan RasulullohShallallaahu ‘alaihi wa Sallam amat menyukai dan menikmati syair-syairnya dan sering beliau diminta untuk lebih bersungguh-sungguh lagi membuat syair.

Perang Mu'tah dan Tangisan Ibnu Rawahah
فلما ودع عبد الله بن رواحة مع من ودع بكى فقيل له ما يبكيك يا ابن رواحة فقال "والله ما بي حب الدنيا وصبابة ولكن سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرأ آية من كتاب الله يذكر فيها النار { وإن منكم إلا واردها كان على ربك حتما مقضيا } فلست أدري كيف لي بالصدر بعد الورود
Apabila kaum muslimin mengucapkan selamat jalan kepada para tentera Mu'tah, tiba-tiba Abdullah bin Rawahah menangis. Maka ditanya; apa yang membuatmu menangis wahai Ibnu Rawahah? Maka jawab beliau:
"Demi Allah aku menangis ini bukan kerana cintakan dunia atau pilu meninggalkan kalian, tapi kerana teringat aku pernah mendengar Rasulullah SAW membaca sepotong ayat Quran yang menyebut tentang neraka; "Tiada seorang pun di antara kamu kecuali akan mendatangi neraka,demikian itu satu ketetapan daripada Tuhanmu" (surah Maryam:71) Maka aku tidak tahu bagaimana aku akan melepasinya setelah mendatanginya."
Maka jawab para muslimin; صحبكم الله ، ودفع عنكم ، وردكم إلينا صالحين " Semoga Allah mengiringimu dengan kesejahteraan, mempertahankan kamu dan mengembalikan kamu kepada kami sebagai golongan solihin"
Tapi tahukah kita apa jawapan Ibnu Rawahah? Dengan air mata yang masih membasahi pipi, beliau bermadah;
لكنني أسأل الرحمن مغفرة
Tapi kupohon dari Allah Ar-Rahman keampunan
وضربة ذات فرع تقذف الزبدا
Dan pukulan yang bertubi-tubi

أو طعنة بيدي حران مجهزة
Dan tusukan di kota Harran itu telah tersedia
بحربة تنفذ الأحشاء والكبــدا
Dengan peperangan yang menembuskan tali perut dan hati
حتى يقال إذا مروا على جدثي
Hingga dikatakan apabila mereka melewati jasadku yang telah syahid itu
يا أرشد الله من غاز وقد رشدا
Dialah pejuang berani yang mendapat bimbingan Ilahi
Bala tentara Islam pun maju bergerak ke medan perang Mu'tah. Sewaktu orang-orang Islam dari kejauhan telah dapat melihat musuh-musuh mereka, mereka terasa gerun melihat besarnya balatentara Romawi yang disebutkan sekitar 200,000 orang! Kerana menurut kenyataan barisan tentara mereka seakan tidak tahu di man hujungnya perbarisan mereka. Seolah-olah tidak terhitung banyaknya!

Melihat jumlah mereka yang cuma 3000, tentera muslimin benar-benar terkesima. dan sebagian ada yang berkata: “Baiknya kita kirim utusan kepada Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa Sallam, memberitakan jumlah musuh yang besar. Mungkin kita dapat bantuan tambahan pasukan, atau jika diperintahkan tetap maju maka kita patuhi”.
Tetapi Ibnu Rawahah, bagaikan datangnya siang bangun berdiri di antara barisan pasukan-pasukannya lalu berucap dengan lantang. Satu ucapan yang menggegarkan dan tercatat harum dalam lipatan sejarah:
يا قوم و الله إن الذي تكرهون للذي خرجتم له- تطلبو ا الشهادة
“Wahai kaumku! Demi Allah apa yang tidak kamu sukai itulah sebenarnya yang kamu keluar kerananya iaitu kita memburu syahid
و ما نقاتل الناس بعدد و لا قوة و لا كثرة
sesungguhnya kita berperang menentang musuh kita bukan bersandar pada bilangan, kekuatan atau banyaknya jumlah!
إنما نقاتلهم بهذا الدين الذي أكرمنا الله به
Kita tidak memerangi memerangi mereka, melainkan berbekalkan agama kita ini, yang dengan memeluknya kita telah dimuliakan Allah!
فانطلقوا فانما هي إحدى الحسنيين:
Ayuh mara ke hadapan mengejar salah satu dari dua kebaikan yang pasti kita capai
اما الظهور واما الشهادة
Sama ada menang atau syahid !”
Bergema suara kaum Muslimin yang sedikit bilangannya tetapi besar imannya itu menyatakan persetujuan. Mereka berteriak: “Sungguh, demi Allah, benar apa yang dikatakan oleh Ibnu Rawahah!”

Pasukan berani mati itupun terus ke tujuannya, dengan bilangan yang jauh lebih sedikit menghadapi musuh yang berjumlah 200,000 yang berhasil dihimpun orang Romawi untuk menghadapi suatu peperangan dahsyat yang belum ada taranya. Kedua balatentara pun bertemu, lalu berkecamuklah pertempuran di antara keduanya.
Pemimpin yang pertama Zaid bin Haritsah gugur sebagai syahid yang mulia, disusul oleh pemimpin yang kedua Ja’far bin Abi Thalib, hingga ia juga memperoleh syahidnya setelah kedua tangannya telah kudung mempertahankan bendera Islam, sehingga digelar zul janahain (yang mempunyai dua sayap) kerana Allah telah menggantikannya dengan dua sayap di syurga yang membolehkan beliau terbang ke mana saja yang beliau sukai. Dan sebahagian sahabat menggelarnya Jaa'far at-Toyyaar (yang terbang).

Setelah itulah Abdullah ibn Rawahahmenyusul sebagai pemimpin bala tentera muslimin yang ketiga. Dikala itu ia menyambut panji perang dari tangan kanannya Ja’far, sementara peperangan sudah mencapai puncaknya. Hampir-hampirlah pasukan Islam yang kecil itu kucar-kacir diantara pasukan Romawi yang datang membanjir laksana air bah, yang berhasil dihimpun oleh Heraklius untuk maksud ini. Tetapi Abdullah mengembalikan semngat mereka dengan menggantikan tampuk kepimpinan tentera ketika saat genting itu. Beliau berseru :
أقسمت يا نفس لتنزلن_ لتنزلنه أو لتكرهنه
“Bukankah kau telah bersumpah wahai diri untuk maju ke medan perang walaupun kau membencinya
إن أجلب الناس وشدوا الرنة_ ما لي أراك تكرهين الجنة
Apabila manusia berhimpun untuk berperang dan teriakan serta jerit tangis kian memuncak.

Tapi mengapa kulihat engkau seolah bencikan kematian dan menolak syurga?
قد طال ما قد كنت مطمئنة_ هل أنت إلا نطفة في شنة
Telah lama kau tinggal dalam suasana tenang
Bukankah kau itu cuma setitis air mani yang hina?"
Berangkat Menuju Redha NYA.

Ia pun maju menyerbu orang-orang Romawi dengan tabah. Kalau tidaklah taqdir Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menentukan, bahwa hari itu adalah saat janjinya akan ke syurga, niscaya ia akan terus menebas musuh dengan pedangnya, hingga dapat menewaskan sejumlah besar dari mereka.Tetapi waktu keberangkatan sudah tiba, yang memberitahukan awal perjalananya pulang ke hadirat Allah, maka naiklah ia sebagai syahid.
Jasadnya jatuh terkapar, tapi roh perwira itu naik menghadap Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Tinggi, dan tercapailah impian yang didendangkan dalam syairnya selama ini:
حتى يقولوا إذا مروا على جدثي أرشده الله من غاز وقد رشدا
“Hingga dikatakan, iaitu bila mereka melewati mayatku: Wahai prajurit perang yang dipimpin Allah" Ya Allah. Benar, ia telah terpimpin!” “Benar dikau, ya Ibnu Rawahah! Anda memang prajurit yang telah dipimpin oleh Allah!”
Selagi pertempuran sengit sedang berkecamuk di bumi Balqa’ di Syam, Rasululloh Sallallohu alaihi wa Sallam sedang duduk beserta para sahabat di Madinah berbicara dengan mereka. Tiba-tiba percakapan yang berjalan dengan tenang tenteram, Nabi terdiam, kedua matanya basah berkaca-kaca. Beliau mengangkatkan wajahnya dengan mengedipkan kedua matanya, untuk melepas air mata yang jatuh!
Seraya memandang berkeliling ke wajah para sahabatnya dengan pandangan haru, beliau berkata: “Panji perang dipegang oleh Zaid bin Haritsah, ia bertempur bersamanya hingga ia gugur sebagai syahid. Kemudian diambil alih oleh Ja’far, dan ia bertempur pula bersamanya sampai syahid pula. Baginda berdiam sebentar, lain diteruskannya ucapannya: “Kemudian panji itu dipegang oleh Abdulah bin Rawahah dan ia bertempur bersama panji itu, sampai akhirnya ia·pun turut syahid."
Di masa itu, seperti yang diceritakan dalam buku sirah ini, Raheeq Makhtum- Rasulullah berlinangan air mata, menyambung; "Selanjutnya disambut oleh salah satu pedang daripada pedang Allah (Khalid Al-Walid) sehingga Allah memberi kemenangan.”
Kemudian Rasul diam lagi seketika, sementara mata beliau bercahaya, menyinarkan kegembiraan, ketenteraman dan kerinduan, lalu katanya pula : “Mereka bertiga diangkatkan ke tempatku ke syurga …”
Subhanallah!
Ibnu Rawahah telah berjaya!

Oh ya, apakata kita semua baca tentang perang Mu'tah ini. Sangat penting untuk kita semua tahu. Cuba bayangkan kehebatan tentera Rasulullah 3000 vs. 200,000 hanya 12 tentera muslimin yang syahid! Tentera Rom pula dianggarkan mengalami kerugian nyawa yang besar. Cuba antum cari apakah taktik yang telah diguna pakai oleh saifullah al-maslul (pedang Allah yang terhunus-gelaran Khalid) sehingga tentera Rom tertipu dengan taktik perang itu dan berasa gerun lalu berundur???
Masha Allah!
Perang Mu'tah ini juga telah memberi kesan besar membawa kemasyhuran tentera Islam harum ke Rom dan seluruh arab. Impak besarnya termasuklah
~kuasa Rom menjadi cuak dengan ancaman tentera Islam dan perang ini merupakan permulaan kepada pertarungan2 berdarah dengan Rom di masa2 seterusnya sehingga akhirnya membawa kepada kemenangan dan pembukaan Islam di negeri2 Rom
~Qabilah-qabilah arab yang sebelum ini menjadi musuh ketat Islam telah mengubah pendirian dan ramai-ramai menganut agama Islam termasuk Bani Salim, Asyja', Ghatfaan, Zibyaan, Fazarah, dan lain-lain.
Ini kerana sebelum ini mereka mempersendakan keberangkatan tentera Islam. Mereka mendakwa tentera muslimin ibarat menghantar ekspedisi membunuh diri kerana jumlah mereka yang kecil itu menentang ratusan ribu tentera Rom. Tambahan pula, kuasa Rom ketika itu adalah bangsa yang paling digeruni, kuasa gergasi (mungkin seperti Amerika hari ini). Tetapi sebaliknya tentera Islam kembali ke Madinah tanpa kerigian besar. Ini benar-benar membuktikan kehebatan Islam. Tetapi ini juga membuktikan mereka sememangnya dibantu dan disokong oleh Allah SWT !!!
Membaca sirah benar-benar membuatkan saya kagum akan kehebatan para sahabat dari segi keimanan mereka yang tidak berbelah bagi. Mereka tidak pernah mempersoalkan tindakan Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam. Tetapi keimanan mereka bulat. Tidak bersandar pada logik akal, tapi logik Allah. Kalau Allah kata jadi, maka jadi. Islam yang menang. Bagaimana imanku ya Allah ? (~.~) Masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menyandang gelaran Syabab Muhammad !!!

Rujukan:
-Karakteristik Perihidup 60 sahabat Rasulullah SAW (Khalid Muhd Khalid)
-Al-Raheeq Al-Makhtum- Sirah Rasulullah Sallalahu Alayhi wasallam (Syeikh Sofiy Ar-Rahman Al-Mubarakfuri)
-Riwayat hidup Rasulullah Sallallahu alayhi wasallam (Abul Hasan Ali Al-Hasani An-Nadwi)
نسأل الله ان نسير علي دربهم ونلتحق بركبهم في الجنة ان شاء الله
الله ينور قلوينا وقلوبكم وقلوب جميع المسلمين بالعلم والدين والهدي واليقين ويرفع مقامنا ومقامكم ومقام جميع المسلمين في الفردوس الأعلي ويحشرنا ويحشركم بجوار النبي الأمين

Kredit
http://ibnufathani.blogspot.com/2011/05/perang-mutah-air-mata-penyair.html